Tuesday 25 November 2014


Ahad, 28 November 2010

Sejenak di Pulau Bidong

Pulau Bidong
Pada hari ini tidak ramai dari kalangan generasi muda yang tahu mengenai Pulau Bidong, kecuali anak-anak muda dari sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama negeri Trengganu.  Pulau yang sebesar 260ha  ini terletak berhampiran negeri Trengganu di Laut China Selatan.

Suatu ketika pada pertengahan 1978 sehingga tahun 1991, pulau ini menjadi tumpuan dunia dalam isu pelarian Vietnam.

Selepas aku tamat kursus asas Radio Komunikasi di Sekolah Latihan Komunikasi Woodlands, Singapura pada bulan Februari 1978, aku telah diarahkan bertugas di atas kapal KD Ledang.  Kapal ini adalah dari jenis Skuadron Penyapu Periuk Api yang diperintah oleh Lt Kdr Chan Mun Fook.

Sebagai orang baru dan pertama kali berkhidmat dan bertugas di kapal, kehidupan aku begitu asing dengan rutin harian.  Namun lama-kelamaan ianya menjadi sebati dan sangat menyeronokkan.

Pada beberapa bulan pertama aku bertugas di kapal ini, banyak tugasan yang diberi oleh pihak atasan ialah belayar bersama-sama KD Mahamiru yang diperintah oleh Lt Kdr Chin Mun Seng dan KD Kinabalu yang diperintah oleh Lt Ibrahim Jawi adalah membuat latihan di laut dan seterusnya membuat rondaan secara berasingan di sektor yang telah ditetapkan.

Namun menjelang bulan Ogos pada tahun yang sama, tugasan yang diberi oleh pihak atasan sangat asing dan menjadi lebih mencabar buat Pegawai Memerintah dan anak-anak kapal.  Perairan Malaysia, khususnya di sebelah pantai timur semenanjung telah didatangi oleh ramai pelarian dengan menaiki bot kecil sarat dengan orang-orang Vietnam yang ingin mencari 'kebebasan'.

Aku masih ingat banyak peristiwa yang melibatkan 'boat people' ini.  Dalam tempoh 3 bulan sahaja telah beberapa kali kami menunda bot yang dipenuhi oleh pelarian Vietnam keluar dari perairan Malaysia atas arahan pihak atasan.  Memang sangat menyedihkan, namun kami hanya menjalankan tugas dan hanya mampu melihat penderitaan mereka sahaja.

Pada suatu ketika yang lain, kami juga pernah menunda bot pelarian Vietnam ini untuk dihantar ke Pulau Bidong yang telah menjadi tempat 'persinggahan' mereka.  Kerajaan Malaysia secara rasminya telah mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai kem pelarian dan menjadi kawasan larangan bagi orang awam tanpa urusan rasmi.

Pada suatu kesempatan lain, aku telah diarahkan oleh Pegawai Memerintah bersama seorang pegawai lain dan beberapa anak kapal atas tugasan khas untuk mendarat ke Pulau Bidong.  Aku sebagai seorang 'radio operator' ditugaskan membawa satu set radio PRC untuk menghubungi kapal yang bersauh tidak jauh dari pulau tersebut.  Aku dapat melihat dengan jelas bagaimana keadaan kehidupan mereka ketika itu.  Aku tidak dapat gambarkan keadaan kehidupan mereka dalam bentuk tulisan, namun gambar-gambar yang aku muat-turunkan pada entri ini mungkin dapat membantu pengunjung blog ini membayangkan keadaan kehidupan mereka ketika itu.

Pelarian Vietnam di Pulau Bidong
'Boat People'


Keadaan Pelarian Vietnam

Kapal TLDM dari jenis LST menurunkan pelarian. (Ada sesiapa boleh beritahu nama kapal ini 503. Penulis tidak ingat nama kapal ini).

Pulau Bidong menjadi seperti 'Mini Saigon' buat mereka.  Suatu ketika pulau ini menempatkan hampir 250,000 pelarian.   Pada 30hb Okt, 1991 apabila semua pelarian Vietnam telah meninggalkan pulau ini menuju ke negara maju yang mengambil mereka, secara rasminya pulau ini telah ditutup.

Kehadiran aku bersama pegawai dan beberapa anak kapal KD Ledang ke pulau ini menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidup ku selama berkhidmat di dalam TLDM.  Kenangan di antara kenangan-kenangan yang akan diingati sepanjang hayat ini.

Nota:  Sebagai maklumat tambahan KD Jerai ketika itu telah dilucutkan tauliahnya.

cc:pak mail

appericiate this? please click this link http://peruserpaid.com/?ref=48812

No comments:

Post a Comment